Monday, May 9, 2011

Sakura milik Seoul...(Episod 7)


    Suasana petang di bandar Seoul pada hari ini sungguh menyamankan.Sesekali enak juga apabila disapa oleh jatuhan bunga-bunga sakura yang tidak terbilang helaiannya.Memang indah  pemandangannya jika dapat dilihat sendiri dengan mata kasar,jauh bezanya jika dibandingkan dengan tontonan melalui kaca televisyen.Nun di seberang sana,kelihatan seperti seorang anak gadis muda yang sedang duduk di atas bangku sedang mengelamun sambil menghayati nikmat dan bukti-bukti keindahan ciptaan tuhan.

    Hembusan nafasnya sengaja dilakukan berulang-ulang kali disusuli kepulan-kepulan asap yang keluar daripada ruang rongga nafasnya,sambil tersenyum sipu keseorangan.Di hati kecilnya sayup-sayup berbisik,alangkah bahagianya,jika pada saat dan tika ini dia dapat meluangkan detik-detik masa romantis bersama insan yang tersayang.

    Memang itu salah satu dari impian dan angan-angannya sejak dia mula-mula menjejakkan kaki di bumi Seoul ini.Amat sesuai bagi sesiapa sahaja yang berhajat untuk berbulan madu di sini,kerana singgahsananya yang bakal mencipta suatu memori baru yang tidak mampu dirungkai agar dapat dijadikan sebuah imbauan nostalgia silam yang tidak terperi keasyikannya pada masa akan datang.Maka benarlah apa yang ditonton selalu menerusi drama bersiri Korea,kita seolah-seolah dibuai oleh keindahan fantasinya.Tetapi realitinya lebih menakjubkan dan menerujakan.

    Sudah hampir tiga tahun Zura meninggalkan tanah air,perbezaan jarak dan tempat tidak pernah sama sekali menghalang dia untuk sering berhubungan dengan keluarganya yang tercinta.Tambahan pula,dia juga tidak pernah terlepas akan maklumat terkini tentang apa-apa sahaja yang berkaitan melibatkan keluarganya.Begitu juga akan perhatiannya yang tidak pernah berbelah bagi untuk kekasih hatinya,Haziq,yang kini sudah pun memulakan kariernya sebagai seorang arkitek junior dan sedang giat bekerja di sebuah syarikat swasta yang terletak di Johor Bahru.

    Kesibukan Zura pada pelajarannya tidak bermakna dia terlepas pandang terhadap Haziq,malahan dia juga kerap menghubungi Haziq melalui panggilan telefon dan sistem pesanan ringkas mahu pun menerusi laman sosial yakni Facebook.Zura tidak pernah pula mengkhianati Haziq selama tempoh dia berada di sini dan sangat setia menyayangi diri Haziq tanpa sedikit keraguan pun yang terpalit.Hanya nama Haziq sahaja yang memenuhi ruang hatinya dan bertakhta serta mekar buat selama-lamanya.Pernah juga beberapa kali Zura dilamar oleh Zack,tetapi pendiriannya dengan tegas dan tetap teguh menolak tawaran Zack.Luka dan nanah dek percikan herdikan Zack sewaktu di bangku persekolahan dulu,masih lagi basah dan segar di ingatannya.

    Baru kini Zack menyedari akan satu persatu kelebihan yang ada pada Zura.Selama ini dia buta dan tidak dapat melihat dengan mata kasarnya,akan tetapi setelah diamati dengan mata hati,maka terbentanglah keistimewaan demi keistimewaan yang wujud dalam lahiriah diri Zura.Menyesal bukan kepalang Zack menolak cinta Zura dulu,walaupun Zack redha dan menghormati pendirian Zura,sedikit sebanyak,tercalit juga sebujur kekecewaan dan kekesalan di hatinya.

    Dia faham benar yang rasa cinta ini tidak boleh dipaksa dan diasak.Zura juga tidak pernah kelabu mata dengan personaliti menarik yang ditampilkan oleh jejaka kacukan serani ini,apatah lagi terpedaya dengan kemewahan dan kekayaan aset yang dimiliki Zack.Pendirian Zura tidak pernah goyah dan tidak akan berganjak sama sekali walaupun sejengkal.Zack jugak adalah penuntut di fakulti yang sama dengan Zura.Ramai daripada teman-teman seperjuangan mereka sewaktu di Sekolah Sains Selangor dulu juga turut menuntut di Seoul National University dalam pengkhususan kejuruteraan.Keadaan tidak menyukarkan penghidupan mereka di sini,kerana masing-masing sudah seperti satu keluarga dan saling membantu antara satu sama yang lain.Hanya tinggal setahun sahaja lagi untuk Zura menamatkan sesi pengajiannya di sini.

    Rindunya pada tanah air dan tempat tumpah darahnya sudah menebal.Dia tidaklah semampu rakan-rakannya yang lain,yang mana hampir setiap tahun berpeluang untuk pulang ke tanah air.Tidak cukup dengan itu,ada juga sebahagian daripada mereka yang menghabiskan cuti semester dengan melancong ke negara jiran,Jepun.Dia sedar akan hakikat kesusahan keluarganya,dan tidak pula berniat untuk menambah lagi bebanan ibunya hanya semata-mata untuk memenuhi kehendak hatinya yang ingin menghilangkan rasa rindu dendam membaranya.Biarlah dia mengenepikan kepentingan dirinya buat sementara waktu.

    Dia hanya bergantung pada bantuan biasiswa daripada JPA sepenuhnya.Pernah juga dia terpaksa mengikat perutnya untuk selama beberapa hari disebabkan oleh kelewatan JPA dalam memasukkan wang saku.Tetapi dia sudah alah tegal biasa dalam menghadapi musibah yang tidak seberapa itu dan sesekali tidak pernah melatah,kerana dia pernah merasai cubaan yang lebih dasyat dan getir seumpamanya.Inilah kelebihan bagi sesiapa sahaja yang dilahirkan dalam keluarga yang serba dengan kedaifan.

2 comments:

  1. kalau hang cerita siket pasal zack macam style flashback2 pon ok gak kot. ni tetibe, cam xsyiok ah.

    "Memang indah pemandangannya jika dapat dilihat sendiri dengan mata kasar,jauh bezanya jika dibandingkan dengan tontonan melalui kaca televisyen,memang agak ketara jurang perbezaannya." - klu ringkas lg kiut kot.

    ok sekian. sori byk komen. haha

    ReplyDelete
  2. untuk pengetahuan anda,Zack adalah watak semasa episod yang pertama....

    sorry kalau terlalu mengutamakan keindahan bahasa dr isi penting...nnti sy akan perbaiki dlm episod yg akan dtg..terime kasih kerana mengikuti episod demi episod...

    takpe...komen anda akan sentiasa diambil kire..terime kasih...

    ReplyDelete