Wednesday, May 18, 2011

Ditelan Mati Emak Diluah Mati Bapak...(Episod 9)


    Begitu pantas pergerakan putaran bumi menginjak dari utara dan membawalah ke selatan,lautan luas terbentang menjangkaui keupayaan daratan barat daya ketimuran,lantas memintasi kenangan-kenangan silam yang terbungkam dek seretan waktu dalam perjalanan kehidupan.Zura termenung sejenak,dia terkenangkan detik-detik sebelum perkelenaannya ke Seoul untuk kali yang pertama pada tahun 2006.Zura begitu tersentuh dan merindui saat di mana Haziq menyusun satu persatu daripada kata madah pujangganya yang jatuh berguguran terhoyong-hayang dari hatinya yang tulus ikhlas lalu menghempasi ruang-ruang hati kekosongan Zura.

    Zura faham benar Haziq seorang yang sangat pemalu,jadi tidak hairanlah susunan hiaraki maksud yang tersirat di sebalik darah gemuruhnya itu agak berselerakkan.Hampir bertaburan juga gelak tawa Zura melihat kekalutan teman istimewanya itu,mujurlah raut hitam manis Haziq berjaya mengaburi patlet darah merah padam yang berbekas di wajahnya.Hanya linangan airmata sahaja yang dapat Zura bekalkan untuk Haziq sebagai hadiah bersempena sepeninggalannya.Betapa berat dia mengatur satu persatu daripada langkah kakinya menuju ke pesawat Korean Air yang hanya menunggu beberapa jam sahaja lagi untuk berlepas.

    Kini masa sudah pun melewati tahun 2011,dan Zura telah pun kembali semula ke tanah air.Tempekan demi tempekan serta tempelan bersilih tempelan terus menaikkan lagi seri wajah Zura pada hari bersejarah tersebut.Sebentar sahaja lagi,rombongan dari Sik akan tiba untuk menyarungkan cincin ke jari manisnya.

    Kata tersemai,janji disemat,maka terdengarlah deruman beberapa buah kenderaan pacuan empat roda yang mengisi kekosongan di halaman  perkarangan tempat letak kereta rumahnya.Majlis pertunangan berjalan dengan lancar walaupun langit tidak henti-henti mencurahkan simbahannya lalu membasahi lantai kegersangan sang bumi.Majlis berlangsung dengan penuh kesederhanaan,dan tidak pula menjemput tamu yang ramai,hanya saudara-mara terdekat sahaja yang diundang.

    Kata sepakat dipateri,tarikh keramat dimetrai,kedua bakal mempelai ini akan diikat dengan tali pernikahan pada 13 April 2012.Turut hadir memeriahkan lagi majlis,Mimi,teman rapat Zura ketika di era persekolahan dulu.Mimi kelihatan begitu anggun dan juga berketerampilan dengan menggayakan fesyen kebaya modern yang berwarna merah jambu.Jelas tampak perbezaannya jika hendak dibandingkan sewaktu dia menuntut di Sekolah Sains Selangor dahulu,dengan penampilannya yang agak terkebelakang dan ketinggalan zaman sering menjadi bahan tawa kepada pelajar-pelajar lelaki.Kini Mimi sudah jauh berubah melintasi antara dua benua yang bersempadan.Selayang pandangan,lagaknya saling tak tumpah seperti aktres dramatis terkenal tanah air yang tidak asing lagi yakni Nora Danish.

    Apabila ruang angkasa raya berhenti memercikkan titisan,awan kembali menampakkan jurang,dan mentari di ufuk jingga berganti senja nan kemerahan,maka berlalulah pergi kenderaan yang terakhir meninggalkan perkarangan rumah Zura.Sempat juga Zura menghamparkan lambaian untuk bakal suaminya,Haziq,dan dibalas dengan lemparan mimik muka yang agak selamba.Di hatinya bergaul segala macam perasaan yang tidak enak.Dia sendiri tidak tahu menahu samada apa yang berlaku pada hari ini wajar atau tidak.Haziq tidak dapat lagi mengimbangi rasional dirinya pada saat ini,kerana banyak daripada tindakannya selama ini hanya bertuhankan emosi dan nafsu semata-mata.

    Tiba-tiba,dia tersentak dengan pekikan deringan sistem pesanan ringkas pada telefon bimbitnya.Kecurigaan hatinya seperti sudah dapat membaca,barangkali ada sesuatu yang tidak diingini bakal berlaku.Pantas paluan genderang degupan hatinya dengan perlahan-lahan membuka peti sistem pesanan ringkas.Memang sah dan tidak syak lagi,jangkaannya bahawa  perkara buruk yang sedemikian akan menimpa dirinya sudah pun terjadi.

    Linda baru saja dimaklumkan tentang majlis pertunangan antara Haziq dan Zura.Linda seperti cacing kepanasan lalu mengugut sesuatu yang amat merisaukannya.Haziq terpaksa menelan segala kepahitan jika sebarang kemungkinan berlaku.Haziq benar-benar insaf dan kesal atas apa yang telah berlaku.Dia menangis semahu-mahunya.Mujurlah keadaan lalu lintas pada petang itu agak lengang memandangkan konsentrasi pemanduannya di tahap yang agak merbahaya.Dia tidak dapat lagi melindungkan sebak di hatinya.Haziq terbayangkan wajah Zura yang penuh dengan pengaharapan.Rasa simpati dan kesianan terlalu menghimpit dirinya kini.Haziq hanya boleh berkongsi masalah ini dengan dirinya sendiri dan tiada tempat untuk mengadu.

No comments:

Post a Comment